"So rescue yourself from these general themes and write about what your everyday life offers you; describe your sorrow and desires, the thoughts that pass through your mind and your belief in some kind of beauty - describe all these with heartfelt, silent, humble, sincerity and, when you express yourself, use the things around you, the images from your dreams, and the objects that you remember." - Rainer Maria Rilke, Letters to a Young Poet.
Assalamualaikum.
Hari ini saya cuba menunaikan janji saya sendiri, untuk menulis di atas 'kertas' baru, dengan cuba bertatih semula mencari jiwa penulis (self-acclaimed) yang telah lama saya sorokkan atas ketakutan-ketakutan bahawa orang tidak mampu menerima dan menghadamkan tulisan-tulisan saya. Sepanjang ketiadaan jiwa yang pengecut itu, saya banyak kali 'ditegur' secara tak langsung oleh penulis-penulis yang saya kira memang berjaya dalam penulisannya. Pada mereka, penulis itu menulis kerana mereka perlu. Mereka menulis untuk mereka sendiri. Penulis yang mahu menulis bukanlah menulis untuk audiens, tetapi kerana setiap curahan itu umpama makanan untuk jiwa mereka.
Jiwa saya yang ini sudah penat bersembunyi. Jari-jemari ini sudah gian mahu menari-nari. Maka tulisan kali ini, adalah saksi bahawa saya ingin menulis semula. Sebagai peringatan untuk diri saya sendiri supaya saya tak mudah putus asa. Saya ingin cuba mengarang semula, biar pendek, biar tak berisi, kerana tulisan-tulisan ini adalah 'penyelamat' saya. Mungkin orang-orang yang kenal saya di alam realiti lebih tahu, saya di luar dan di dalam tulisan-tulisan saya, umpama individu berbeza. Tulisan saya lebih mentah, dan jasad saya lebih 'reserved'. Maka tulisan-tulisan ini adalah untuk personaliti yang lagi satu. Untuk personaliti yang terperangkap dalam jasad yang 'reserved' ini. Semuanya dalam ini - nukilan-nukilan indah, sakit, mentah, lelah.
Saya tahu, tulisan yang baik adalah satu dakwah. Tapi seringkali saya ini sejenis yang lebih suka menulis tentang perkara-perkara sekeliling yang berlaku pada diri saya, tentang pengalaman-pengalaman saya (walaupun tak banyak), tentang rasa saya atas sesuatu yang berlaku jika dibandingkan dengan menulis tentang isu-isu yang selalu diketengahkan masyarakat. Sebab perasaan saya tentang perkara-perkara yang berlaku sekeliling saya adalah lebih 'selamat' untuk diri saya sendiri. Jadi, saya tak pasti kalau-kalau tulisan-tulisan saya boleh menjadi satu dakwah. Yang penting, saya harap setiap tulisan dan kisah saya boleh buat orang mendalami dan berfikir. Kalau positif, alhamdulillah. Kalau negatif, cari hikmah di sebalik setiap kata-kata saya, insyaAllah.
Oh, tentang blog lama, sebenarnya blog tersebut masih wujud. Title untuk blog ini pun masih saya kekalkan seperti dulu. Mana mungkin saya buang sesuatu yang pernah menjadi sejarah hidup saya, sesuatu yang menjadi bukti siapa saya yang dulu, ke mana arah tuju saya dan apa yang membentuk siapa saya yang sekarang. Semuanya ada dalam blog itu. Cuma saya simpan semua itu dalam simpanan peribadi. Cukuplah saya yang baca bukti-bukti perkembangan hidup saya dari dulu. Baik yang indah mahupun yang perit ditelan. Ya, saya memang sejenis yang susah nak lupakan sesuatu yang pernah menjadi sejarah hidup saya. Tinggalkan untuk kebaikan, mungkin ya. Tapi untuk melupakan tu, sungguhlah tidak mampu.
So, dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, izinkan saya memulakan kisah baru saya detik ini :)
No comments:
Post a Comment